Wednesday, January 25, 2012
TAJUK:CINTA SEPI ANDA
KARYA:NURUL ADNIE BAHIAH ZAHABA
Kaki anda menghentak-hentak lantai.Berkeriut bunyinya lantai papan kayu rumah buruk milik ayah.Kadang-kadang sikap anda menghenyak sabar ayah.Namun ayah tabahkan jua hati melihat perubahan sikap anda itu.Ayah tahu anda protes kerana ayah melarang anda untuk memasuki Universiti.Ayah menyuruh anda menyambung pelajaran ke tingkatan enam.Kata ayah selepas ini anda boleh jadi cikgu.
Mungkin itu hanya untuk menyedapkan rasa resah hati anda.Tapi jiwa anda mahu ke Universiti mengambil jurusan Diploma Teknologi Maklumat dan anda dengan hati berbunga riang telah menerima surat tawaran yang telah ditawarkan kepada anda.Anda rasa malu jika ke tingkatan enam,mana tidaknya semua rakan-rakan anda melangkah ke Universiti dengan jayanya.Anda juga ingin melangkah ke menara gading.
Tidakkah otak fikir anda tidak boleh mentafsir apa yang ada pada raut wajah ayah.Dulu ayah seorang yang tegas tapi setelah ibu meninggal dunia akibat barah otak.Ayah mengayam derita sengsara dengan kematian ibu.Ya segala yang ada pada diri ibu kini berada di jiwa ayah.Anda tahu kerana anda merasainya..
Kata orang kasih ibu sampai syurga dan kasih ayah sampai bila-bila.Teringat pula kata ibu.Berkawan biar seribu dan jangan dilupa kasih ibu.
Tapi anda langsung tidak mewarisi ketabahan ibu.Selalu memberontak jikalau kemahuan tidak dituruti. Anda juga berasa begitu kerana itulah diri anda.Bagi anda buat apa hendak mengikut perangai orang lain sedangkan anda sendiri punya kemahuan yang berbeza dengan orang lain.Anda.Anda. Terlalu sangat egois!
Ayah menggeleng-geleng kepala melihat tingkah anda.Terus apa lagi yang harus ayah buat.Ayah sendiri juga sudah bingung.Anda masih juga tidak mendengar kata ayah.Habis barang-barang di dalam rumah anda sepahkan.
Malam itu anda boikot ayah.Ayah mengetuk-ngetuk pintu bilik anda.Puas ayah memujuk anda untuk keluar makan malam.Anda tidak peduli.Anda menunjuk perasaan marah dengan mengurung diri di dalam bilik.Anda masih tidak menampakkan diri anda dihadapan ayah.Anda rela bermogok lapar di dalam bilik.
Ayah ke dapur.Melihat lauk-pauk yang sedia terhidang.Lauk-pauk yang sedia dimasak untuk anda masih belum berbekas.Ayah yang memasak semua untuk anda.Mengharapkan perasaan anda akan berubah apabila memakan air tangan ayah.Memang begitulah ayah akan berusaha memujuk anda.Sejak dari kecil jikalau anda menangis meminta dibelikan barang mainan ayah akan memancing anda dengan memasak apa yang anda ingin makan.Wah! bertuah sungguh anda kerana mempunyai seorang ayah yang begitu penyayang.
Ayah gusar.Baki duit simpanan ASB ayah hanya tinggal separuh saja lagi.Ayah takut tidak mampu menampung perbelanjaan anda di Universiti nanti.Tapi anda kata tidak apa kerana nanti akan mendapatkan pinjaman PTPTN.Ayah tahu anda keras kepala.Ayah sendiri kais pagi untuk anak-anaknya,kais petang mencari sesuap rezeki untuk anak-anaknya juga.Habis ayah bagaimana kalau semua untuk anak-anak.
Anda tahu ayah mencari rezeki menyapu sampah di rumah orang disamping menjadi nelayan meredah gelora lautan di subuh hari lagi.Kalau ada rezeki adalah jikalau tidak ada ayah akan mengikat perut.Lainlah dulu perbelanjaan rumah ditanggung juga oleh ibu yang mengambil upah menjahit pakaian.Nampaknya kalam kalbu anda sudah gelap.Dirasuk setan barangkali!.
Di dalam bilik,anda merenung bingkai gambar keluarga.Mata kuyu anda tertacap pada wajah ibu.Figura wajah ibu senantiasa berada berada ditubir mata anda.Jikalau ibu masih hidup tentu saja kemahuan anda akan dituruti.Ibu tidak pernah mengecewakan kehendak anda.Anda melihat figura wajah anda di cermin.Begitu buruk wajah anda didalam cermin kerana wajah bercantum duka.
Anda menumbuk geram cermin di depan anda.Darah berjejeran keluar melalui jari-jari anda yang luka.Luka di luar memang nampak tapi luka di dalam tiada siapa yang nampak.Hanya anda yang merasai sakitnya.Habis luka di tangan pun anda juga yang merasai sakitnya kerana anda yang mencederakannya.
Tidak sayang sungguh anda pada diri sendiri.Tergamak merosakkan ciptaan mulia Allah hanya kerana kemahuan yang tidak dituruti.Anda berasa bersalah apabila melihat darah keluar dengan banyaknya.Segera diambil minyak gamat untuk disapu di tempat luka.Lalu anda membalut tangan dengan plaster.
Anda menguak jendela kamar lalu bercongok di depan jendela sambil menongkat dagu di jendela.Terbentang tenang biru laut yang ditelan gelap malam.Sesekali suara riang ombak bermain berbunyi mesra.Langit suram tanpa ditemani sang kejora dan rembulan malam tidak meresahkan Pantai Menggabang Telipot.Damai lautnya menghadap Laut China Selatan tidaklah sedamai hati anda yang bergelodak terpaan jiwa.
Anda sendiri nekad bermain perasaan.Anda terjelopok ke dalam daerah kesamaran dengan ketidaktentuan.Mengelirukan batin dan meresahkan kalbu.Terikat antara cinta dan cecita.Andakah yang tersilap kerana mencipta jurang dengan ayah sehingga terciptanya daerah keresahan yang bermukim di kalbu.Lalu melempiaskan semua kesalahan menjadi bebanan yang tidak tertanggung oleh ayah.
Ruang minda anda bersuara:
Kau hanya mengejar impian sahaja,kau mendera perasaan ayah,kau memberinya resah.
Kata hati membalas:
Aku hanya mengejar kejayaan untuk masa depan aku juga,untuk mengubah nasib keluarga aku juga.
Ah,anda tidak peduli apa desakan minda.Biarkan minda mempertikaikan tindakan ini.Membiarkan saja dan mengikut kata hati.Bermakna minda dan hati anda sudah tidak sehaluan.Jika begitu buat apa membentuk jiwa.Bukankah minda dan hati perlu bersatu.Anda masih terikat keliru.
“Ikhlaskan dirimu dengan keadaan kita sekarang,mungkin ada hikmah tuhan sembunyikan sebaliknya”
Anda tahu suara itu dari getar hati ayah di sebalik pintu bilik anda.Adakah ayah tersinggung dengan sikap anda.Adakah anda ini tidak reti bersyukur dengan segala nikmat yang ada.Bukan ayah tidak mahu melihat anda berjaya.Sekarang ini kedudukan kewangan ayah tidak stabil.Ayah memerlukan masa untuk menyimpan duit semula.Sebelum ini semua wang habis digunakan untuk membeli ubat-ubatan ibu.Ternyata tuhan lebih menyayangi ibu.Ibu memang tiada galang gantinya di hati ayah.
Kata ayah anak-anak adalah syurganya.Habis bagaimana dengan anda?.Dulu ayah selalu bangga-bangga anda dengan kejayaan adik-beradik anda.Abang dan kakak berada di Universiti Perubatan Indonesia dan Ireland.Abang dan kakak memang pandai.Mereka akan bergelar doktor beberapa tahun lagi.
Tapi anda berduka.Anda merasa ayah seolah-olah tidak memahami jiwa anda.Ayah sudah tidak sayang pada anda.Ayah memang sudah tidak sayang pada anda.Jikalau ayah sayang pasti akan berusaha menuruti segala kemahuan anda.Iyalah sebagai ayah sepatutnya dari dulu lagi bersedia menyediakan segala keperluan anaknya.Lagipun ini untuk menjamin masa depan anda juga.
Tahniah anda telah berjaya melenyet kekabu hati ayah.Anda ingin sangat melihat ayah derita.Ayah tahu minat anda.Ayah juga inginkan anda berjaya.Setelah sekian lama ayah merakam kenangan bersama ibu untuk melihat kejayaan anda.
Kenapa anda masih lagi mencetuskan pergolakan hati ayah.Anda sebenarnya anak yang bertuah.Ayah kasihkan anda tapi benci dengan ketidakmatangan anda.Anda tidak harus membelakangkan ayah dalam membuat keputusan.Mungkin saja ayah mahu yang terbaik untuk masa depan anda.
Anda bertuah masih punya ayah walaupun kehilangan ibu.Anda harus hargai ayah yang menanam bunga kasih pada diri anda.Selagi hayat ayah masih bersisa.Anda berkorbanlah menghormati keputusan ayah.Anda memang cerdik minda tapi dungu diri.Kenapa anda sanggup menambahkan sembilu pilu kepada ayah.Anda tahu rentak hati ayah,tetapi terlupa ritma pengabdiannya.Anda keras lagak kepedulian.Anda merasa angka pengorbanan ayah tetapi tidak tahu berapa nilainya.
Anda mengisi titis keringat kedewasaan terikat cita-cita.Anda tidak tahu memaknakan cinta ayah.Di wajah anda ada rindu ibu.Di rindu anda ada ke secebis kasih untuk ayah?
Hari pertama qamat bergema di telinga anda.Sewaktu itu ayah memang impikan kesejahteraan anda.Saat anda membesar bersama teman-teman sepermainan.Ayahlah hero penyelamat anda daripada ditindas buli teman-teman sepermainan.Mana mungkin anda boleh melupai semua itu.Kenangan yang membesarkan anda.Seharusnya itu juga yang mematangkan jiwa anda.
Kini anda berlari ke pengkalan dewasa.Anda semakin buruk peribadi.Dan anda tergamak menghantar duka ke wajah ayah.Anda mengeluh.Mengadili setiap tindak tanduk ayah.Sebenarnya ayah senantiasa menghidupkan pengorbanannya untuk anak-anaknya.Anda yang buta perasaan tidak dapat menilainya.Anda memang mengimpikan kejayaan tetapi meremehkan kedudukan ayah.
Hadirkan diri anda dengan kejayaan bermakna.Jangan anda takut apabila berada di bawah,tapi takut apabila anda tidak bangun semula menanti cerah hari esok kerana GAGAL menjadi anak yang baik
Anda mengeluh panjang.Sekarang anda benar-benar terperangkap.Tidak.Tidak.Anda tidak akan sesekali membunuh cita-cita anda.Tapi bukankah itu akan mengait derita ayah.Demi sebuah cita-cita,anda harus memilih untuk meneruskannya hingga ke penghujung.Kalau tidak terlaksana buat apa belajar dari tadika hingga ke sekolah menengah lantas tidak ada apa-apa di penghujungnya.
Nampaknya cinta anda hanya sepi.Lenyap segala impian yang anda buru selama ini.Anda menumbuk-numbuk bantal melepaskan geram yang berkubang di sanubari.Berterbangan kekabu di dalamnya.Berterbangankah juga impian anda untuk menjejakkan kaki ke menara gading?.
Dan anda juga sebenarnya bebas,sebebasnya mengangkat keputusan anda untuk diterima ayah dan sekali gus mendesak ayah untuk menerima keputusan anda.Akan tetapi agak mustahil juga kerana ayah tidak punya wang untuk melaksanakan impian anda itu dengan jayanya.Nampakanya anda tersangkut dengan kehidupan yang benar-benar perit.
Aduh,kenapalah anda tidak dilahirkan menjadi anak orang berada.Tidak perlu memikirkan semua ceritera kehidupan.Tapi anda dicipta menjadi anak seorang nelayan yang memperhitungkan diri dengan takdir tuhan.Kalau jadi anak orang berada dan hidup kaya-raya tentu sekali bahagia dan tidak perlu memikirkan derita dunia.Wang boleh membeli segalanya di dunia.Jikalau tidak mempunyai wang pasti tidak akan jauh ketinggalan di belakang.Begitu berkuasa sekali wang di dunia fana ini.
Anda mengambil tabung buluh di bawah katil.Anda menggoncang-goncang syiling di dalamnya.Masih berbunyi lagi.Nampaknya masih ada isi.Wang yang anda kumpul selama lima tahun ini nampaknya hanya tinggal separuh saja lagi.Maklumlah usia remaja sebegini banyak yang perlu dipakai dan wang ini tidak terkecuali untuk membeli keperluan anda.Telefon bimbit yang digunakan anda juga minta diisi setiap bulan.Kalau tidak terbang not berwarna merah tiap-tiap bulan memang tidak sah hidup.
Tapi itulah hidup tidak selalunya indah dengan qadar dan qada Allah.Kalau jadi anak orang kaya tidak perlu memikirkan dari mana datangnya duit tapi kalau anak orang miskin harus mencari duit sendiri untuk hidup.Dunia ini tidak adil.Kenapa tidak disamakan saja tarafnya.Biar tidak ada yang miskin dan tidak ada yang kaya.Biar semua sama sahaja.Tapi bolehkan begitu?.Nanti akan lahir manusia yang tidak pandai bersyukur.Seperti andakah?
Perut anda berkeroncong irama syahdu kelaparan dan bibir anda merekah dahaga.Anda menelan liur berkali-kali.Tapi anda masih memakan ego.Kenyangkah dengan ego itu?.Nampaknya kenyang untuk malam ini sahaja.Anda masih memasungkan ego dalam diri.Tekad sungguh mogok anda.
Anda jadi keliru.Jalan di hadapan anda masih samar-samar tetapi itulah kenyataan yang realiti.Sepastinya begitulah.Anda tidak tahu mahu menyeberang daerah timbang rasa atau tidak.Atau membiarkan diri lemas di lautan ego.
Tunggu…lautan ego selalunya berombak ganas,waspadalah jikalau tenggelam di dalamnya.Minda menasihati riang.
Tidak seriang hati yang gusar.
Tidak akan tenggelam dengan mudah jika melalui daerah timbang rasa dengan berhati-hati.Yang penting tanamkan taman keikhlasan pada diri.Hati tidak mudah mengalah pada kemahuan minda.
Peluh dingin memenuhi ruang wajah anda.Anda masih termangu-mangu dalam dunia keresahan dan perlahan-lahan anda menyelimuti diri anda dengan berwuduk.Mahu beristikarah kepada tuhan untuk memecahkan segala kebuntuan yang bersarang di jiwa.Biar ianya tidak padat dalam diri.
Sepatutnya begitulah yang anda harus lakukan.Meminta yang terbaik dari Rabbul Izzati.Moga di permudahkan setiap berjalanan hidup anda.Itu adalah sedikit ranjau yang anda jumpa.Belum semuanya.Anda akan menemui jalan hidup yang perit lagi pahit untuk mengharungi jalan ke pengkalan dewasa bagi memenuhi hayat penghidupan.Hanya selautan keimanan berserta segerombolan semangat dan selangit tabah diperlukan bagi pengisian itu
.Aduh,bersediakah anda menghadapi semua rintangan itu?.Alam kedewasaan pasti mencabar dengan onak kehidupan dan duri dunia.Takut juga apabila memikirkan anda akan melalui semua itu.Beranikah anda mengharungi itu semua.Tapi setiap warga dunia harus dan wajib melaluinya.Jikalau tidak akan ketinggalan jauh ke belakang.
Seperti hidup di dalam hutan juga.Banyak haiwan buas dan ganas.Tapi apabila anda berhati-hati tentu sekali dapat mengharunginya dengan baik.Di mana-mana ceruk di dunia pun hidup sebenarnya sama sahaja.Di lautan juga yang lemah dan kecil akan ditidas oleh yang besar dan berkuasa.Memang hukum alam begitu.
Bersiap sedia melangkah ke gerbang keremajaan menuju ke pengkalan dewasa.Jangan pula anda terjatuh ke dalam jurang yang amat dalam sekali di pertengahan itu.Kesakitannya amat parah jikalau di bandingkan dengan apa yang dilalui anda sekarang ini.
Anda menelan liur.Takut juga memikirkan dunia di luar sana yang amat payah untuk dilalui jika benar-benar tidak bersedia.Gerun juga apabila sendirian mengharunginya.Dunia di luar sana memerlukan anda untuk berdikari.Ya anda harus berdiri di atas kaki sendiri.
Semoga di teguhkan cinta Rabbi di dalam diri anda.Akan tetapi dengan restu ayah kerana restu orang tua adalah doa yang paling mujarab dan akan diperkenankan oleh Allah.Jikalau hidup tanpa restu orang tua kelak tidak akan bahagia.Terasa akan ada sesuatu yang membakar riwayat jikalau hidup tanpa restu orang tua.
Oh air mata anda mengalir sepi di pergunungan pipi.Perasaan bersalah merajai kalbu.Anda terasa benar-benar bersalah kepada Ayah.Rasa bersalah yang teramat sangat kerana telah menghenyak kekabu hati ayah dengan sembilu pilu.Bagaimana jikalau anda tidak menjumpai hari esok untuk mengucup tangan kasar ayah?.
Anda menangis tersedu-sedu.Takut dengan azab yang dijanjikan Allah kepada anak derhaka.Takut juga apabila dipertanggungjawabkan kelak apa tugas anda sebagai anak.Tentu anda tiada jawapan jikalau hidup tidak menghormati orang tua.Jiwa anda menggeligis. Nampaknya gelodar kalbu anda tidak pulih.Ianya seolah tidak dapat mengguyur kelegaan batin.
Baru anda tahu betapa sengsaranya hidup.Payah diperkenankan doa jikalau masih berbekas duka di hati ayah.
Anda meraup wajah berkali-kali.Menghalangi mutiara putih dari gugur lagi.Ianya menjerakan perasaan anda.Guram wajah anda sepertinya sudah tidak terdaya.Monyok dalam darah perasaan yang bercabang dua mendera.
Anda berteleku meminta untuk melangkah ke ujana kejayaan tanpa gusar.Dapat meneruskan cita-cita dan cinta berpaut dalam satu kehidupan.Mendekatkan diri dengan cinta Rabbi akan membuang segala gelodak dan daki negatif dari jiwa.Tenang dan damai rasa kejayaan.Semoga akan medapat jawapan Istikarah yang tebaik.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Popular Posts
-
(sempat mempromosikan buku kumpulan puisi remaja sendiri) Pejam celik, pejam celik dah genap tiga bulan saya berada di Institut Ter...
-
Malaysia sememangnya kaya dengan pelbagai seni dan adat.Seni tariannya yang pasti memukau setiap yang melihat.Itulah uniknya tarian budaya ...
-
Dengan ini disahkan bahawa pada 18 Februari 2011 telah dijayakan kejohanan boling sekretariat rakan muda Unisza bertempat di Terengganu Eque...
-
Pada 24 Jun hingga 28 Jun 2012 yang lalu bertempat di Kem Latihan Bulan Sabit Merah Malaysia,Kandis,Bachok,Kelantan Darul Naim telah dia...
-
Program motivasi pelajar SPM dan PMR kat SMK bukit besi telah diadakan pada 7 ogos 2010,banyak kenangan yang terindah bersama budak-budak s...
-
Hati Seorang Gadis: Pelajar Cemerlang : Pelajar yang cemerlang bukan sahaja handal dalam akademik tetapi juga hebat akhlak serta kelakuannya...
-
NUR FATIHA FADILA: KEPERLUAN ATAU KEHENDAK?: BELAJAR DARI PENGALAMAN : SEMASA saya menuntut di Tingkatan Enam, saya mengambil mata pelajaran...
-
Cinta seringkali akan lari apabila kita mencari tetapi kadang-kala cinta juga seringkali dibiarkan pergi tatkala ianya datang menghampir...
-
(api sekecil ini kita sudah merasa sakit jika terkena percikannya..subhanallah) Nabi s. a. w. bertanya: "Apakah pintu-pintunya bag...
-
KARYA:NURUL ADNIE BAHIAH ZAHABA Kaki anda menghentak-hentak lantai.Berkeriut bunyinya lantai papan kayu rumah buruk milik ayah.Kadang-kad...
No comments:
Post a Comment