Monday, October 8, 2012

DI JARI AKSARA MENARI: APLIKASI TEORI DALAM PENULISAN KREATIF: SATU TINJA...

DI JARI AKSARA MENARI: APLIKASI TEORI DALAM PENULISAN KREATIF: SATU TINJA...: KESUSASTERAAN secara umum bermaksudkan sesuatu yang indah dan bermakna baik dari segi isi dan tubuhnya. Berdasarkan etimologi sastera dan k...

Friday, August 3, 2012

bsmm tetap dihati

Pada 24 Jun hingga 28 Jun 2012 yang lalu bertempat di Kem Latihan Bulan Sabit Merah Malaysia,Kandis,Bachok,Kelantan Darul Naim telah diadakan Perkhemahan Perdana peringkat negeri Kelantan bagi kategori sekolah rendah dan menengah yang dianjurkan bersama Bulan Sabit Merah Malaysia cawangan Kelantan bersama Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan dan Yayasan Islam Kelantan (YIK). Seramai 1640 peserta termasuk link (sekolah rendah) dan Belia (sekolah menengah) dan dibantu oleh 20 orang fasilitator (termasuk saya). Sejujurnya terlalu banyak pengalaman yang membuatkan kita berfikir sekejap tentang kehidupan.Namun inilah kegilaan saya.Kegilaan terhadap aktiviti kesukarelaan.Ramai yang menganggap ini adalah aktiviti yang paling gila dilakukan.Namun sebagai seorang remaja aktiviti seperti inilah yang membentuk segala nilai-nilai dalam diri dan semangat cintakan Negara.Malah perpaduan antara kaum juga dibentuk melaluinya. Pengalaman yang terlalu cukup berharga untuk dikenang sepanjang membesar bersama-sama dengan kesukarelaan.Di dalamnya saya menemui satu kegembiraan.Malah ibu bapa saya juga turut menyokong di atas sumbangan dan kerjasama sukarela yang saya berikan kepada masyarakat tidak kira agama,bangsa dan keturunan. Alhamdullilah! Sepanjang lima hari berkampung di sana dengan bermacam-macam pengalaman dan pengalaman yang sukar saya lupakan adalah saya demam pada hari ketiga ketika berada di sana.Namun dengan semangat yang luar biasa biarpun demam tetap juga bersemangat untuk menjayakan program untuk semua peserta.Sungguh luar biasa bila itu adalah cinta yang gila. Turut mengajar salah satu skill station CPR dan saya gembira kerana dapat mengajar dan menunjukkan cara-cara membantu mangsa yang di dalam kemalangan akibat lemas,pitam dan kemalangan.Saya masih ingat apabila salah seorang peserta menyukai cara saya mengajar.Antara ayatnya yang masih membuat saya tersenyum. “Kak,bestla akak mengajar dah macam lecture!” Melayan pelbagai kerenah budak-budak yang sedang membesar juga satu aktiviti yang mencabar.Ada yang diserang hysteria,ada yang begitu degil,ada bercinta monyet.Pelbagai gelagat manusia dipamerkan.Namun Alhamdullilah dapat menyelesaikannya dengan kaedah psikologi.Jiwa manusia ini sebenarnya lembut,begitu lembut dan mudah tersentuh.Walaupun dengan pelbagai ego yang ditunjukkan. Secara keseluruhannya,cinta saya tidak akan terhenti di sini.Cinta ini membuatkan saya berfikir bahawa manusia adalah sama.Cuma sikap manusia yang membezakan semuanya.Satu yang saya fikirkan sebagai pengajaran bahawa wang bukan segalanya yang memberi senyuman kepada manusia. Ingatan yang sentiasa di hati.Jika kita ikhlas melakukan sesuatu,kita akan tulus untuk kehidupan kita.Untuk semua kegilaan yang baik pasti akan mendapat balasan yang baik dipenghujung kehidupannya. Bercintalah dengan kemanusiaan bukan dengan perasaan dan nafsu!

Saturday, April 28, 2012

muhasabaah diri

Kita ini hanyalah bilangan hari dan waktu.Apabila sebahagian bilangan itu pergi,pergilah sebahagian dari hidup kita ini.
Setiap bilah hari yang meninggalkan kita membawa bersamanya pelbagai coretan,kenangan,rahsia,cerita,derita,bahagia dan segala rupa warna dan rasa.

Sebahagian yang tinggal menunggu giliran untuk melalui peristiwa yang sama.Cuma mungkin berbeza nama hari,bulan dan tahun tetapi tetap sama pada keadaan dan peranan.

Ia akan membawa lagi sebahagian dari kita pergi meninggalkan kehidupan dunia ini.Sehinggalah pada saat tamatnya bilangan terakhir,maka ketika itu berakhirlah kehidupan kita di dunia ini.

Walaupun saban waktu dan hari bilangan itu tetap pergi dan tidak akan pernah kembali lagi ke dalam kehidupan kita,namun ianya tetap meninggalkan kesan pada bilangan yang masih ada di dalam kehidupan kita itu.

Kenangan peristiwa,pengajaran dan bekalan yang dikutip oleh hari-hari semalam ditinggalkan untuk hari-hari mendatang.Adakala ia pahit,adakala manis,adakala kita membencinya,adakala kita mengisi kehilangan dan adakala kita ingin melupai dan mengharapkan supaya bilangan itu tidak pernah wujud dalam diari kehidupan kita.Malah mengharapkan supaya ianya tidak akan hadir lagi di dalam kehidupan kita.Namun bilangan yang pergi dan datang jua menyimpan pelbagai rahsia setiap kita.

Bukan semua babak lakonan setiap insan diketahui oleh orang lain.Sebahagian besarnya adalah rahsia kehidupan,hanya dia dan tuhan.Beruntunglah insan yang rahsianya di sisi Yang Maha Esa lebih baik dari apa yang disangka oleh manusia.
Ramai yang seakan merasa segala kezaliman dan kekejamannya ke atas orang lain berakhir dengan berlalunya hari-hari dirinya dan orang lain.Segalanya dilupakan begitu sahaja.

Tapi,kesannya masih ada dengan kesakitan dan luka yang ditinggalkan oleh hari semalam kerana tidak semestinya dilupai oleh yang dizalimi.Hari-hari yang pergi mewarisi luka-luka yang terpalit kedalam memori.Mungkin berindahkan sengsara.

Hari yang pergi,jika ia kejelekan dan kotor hitam,kita diberi peluang untuk mengindahkan dan memutihkannya pada hari-hari yang masih berbaki.Adakalanya kejelekan itu tidak bileh diindahkan kembali melainkan melalui proses yang panjang.Adakalanya kekotoran dan kehitaman itu tidak boleh dicuci dan diputihkan dengan mudah.Mengambil masa yang agak lama untuk melunturkan segala resahnya.

Namun,kita perlu yakin tanpa syak bahawa Allah benar-benar mengetahui segalanya.Dia maha mengetahui antara hitam dan putih.Antara yang bersih dan kotor.Dia mengetahui siapa hambanya yang bertaubat dan siapa pula hambanya yang keras jantung hati.Penilaian Allah sentiasa adil dan saksama tanoa kekurangan.

Hari-hari yang masih berbaki memberi kita peluang membaiki diri sebagai seorang insan di muka bumi.Bahkan dengan keikhlasan kepada Allah,kebaikan hari ini dapat memadamkan keburukan hari semalam.

Sebahagian manusia pula menyangka bahawa kemanisan hari-hari yang pergi akan terus diwarisi tanpa siapa yang dapat menghalanginya.

Tiba-tiba baru dia tersedar bahawa hari-hari yang dia lalui masih berbaki ini tidak semestinya menjejaki indah warna-warni kehidupan dengan ceria dan bahagia yang telah pergi meninggalkannya.

Duka mengambil tempat suka,derita merampas hari-hari bahagia.Sekali lagi diingatkan agar insan sentiasa bersyukur atas apa yang telah diberikan dan memohonkan dikekalkan nikmat kurnian.Disuruh kita membunuh rasa bongkak dan takabur atas kurnia nikmat kerana segalanya mungkin sahaja bertukar.





Wednesday, January 25, 2012

Hati Seorang Gadis: Pelajar Cemerlang

Hati Seorang Gadis: Pelajar Cemerlang: Pelajar yang cemerlang bukan sahaja handal dalam akademik tetapi juga hebat akhlak serta kelakuannya. Mencapai keputusan cemerlang dalam ak...

TAJUK:CINTA SEPI ANDA


KARYA:NURUL ADNIE BAHIAH ZAHABA

Kaki anda menghentak-hentak lantai.Berkeriut bunyinya lantai papan kayu rumah buruk milik ayah.Kadang-kadang sikap anda menghenyak sabar ayah.Namun ayah tabahkan jua hati melihat perubahan sikap anda itu.Ayah tahu anda protes kerana ayah melarang anda untuk memasuki Universiti.Ayah menyuruh anda menyambung pelajaran ke tingkatan enam.Kata ayah selepas ini anda boleh jadi cikgu.
Mungkin itu hanya untuk menyedapkan rasa resah hati anda.Tapi jiwa anda mahu ke Universiti mengambil jurusan Diploma Teknologi Maklumat dan anda dengan hati berbunga riang telah menerima surat tawaran yang telah ditawarkan kepada anda.Anda rasa malu jika ke tingkatan enam,mana tidaknya semua rakan-rakan anda melangkah ke Universiti dengan jayanya.Anda juga ingin melangkah ke menara gading.
Tidakkah otak fikir anda tidak boleh mentafsir apa yang ada pada raut wajah ayah.Dulu ayah seorang yang tegas tapi setelah ibu meninggal dunia akibat barah otak.Ayah mengayam derita sengsara dengan kematian ibu.Ya segala yang ada pada diri ibu kini berada di jiwa ayah.Anda tahu kerana anda merasainya..
Kata orang kasih ibu sampai syurga dan kasih ayah sampai bila-bila.Teringat pula kata ibu.Berkawan biar seribu dan jangan dilupa kasih ibu.
Tapi anda langsung tidak mewarisi ketabahan ibu.Selalu memberontak jikalau kemahuan tidak dituruti. Anda juga berasa begitu kerana itulah diri anda.Bagi anda buat apa hendak mengikut perangai orang lain sedangkan anda sendiri punya kemahuan yang berbeza dengan orang lain.Anda.Anda. Terlalu sangat egois!
Ayah menggeleng-geleng kepala melihat tingkah anda.Terus apa lagi yang harus ayah buat.Ayah sendiri juga sudah bingung.Anda masih juga tidak mendengar kata ayah.Habis barang-barang di dalam rumah anda sepahkan.
Malam itu anda boikot ayah.Ayah mengetuk-ngetuk pintu bilik anda.Puas ayah memujuk anda untuk keluar makan malam.Anda tidak peduli.Anda menunjuk perasaan marah dengan mengurung diri di dalam bilik.Anda masih tidak menampakkan diri anda dihadapan ayah.Anda rela bermogok lapar di dalam bilik.
Ayah ke dapur.Melihat lauk-pauk yang sedia terhidang.Lauk-pauk yang sedia dimasak untuk anda masih belum berbekas.Ayah yang memasak semua untuk anda.Mengharapkan perasaan anda akan berubah apabila memakan air tangan ayah.Memang begitulah ayah akan berusaha memujuk anda.Sejak dari kecil jikalau anda menangis meminta dibelikan barang mainan ayah akan memancing anda dengan memasak apa yang anda ingin makan.Wah! bertuah sungguh anda kerana mempunyai seorang ayah yang begitu penyayang.
Ayah gusar.Baki duit simpanan ASB ayah hanya tinggal separuh saja lagi.Ayah takut tidak mampu menampung perbelanjaan anda di Universiti nanti.Tapi anda kata tidak apa kerana nanti akan mendapatkan pinjaman PTPTN.Ayah tahu anda keras kepala.Ayah sendiri kais pagi untuk anak-anaknya,kais petang mencari sesuap rezeki untuk anak-anaknya juga.Habis ayah bagaimana kalau semua untuk anak-anak.
Anda tahu ayah mencari rezeki menyapu sampah di rumah orang disamping menjadi nelayan meredah gelora lautan di subuh hari lagi.Kalau ada rezeki adalah jikalau tidak ada ayah akan mengikat perut.Lainlah dulu perbelanjaan rumah ditanggung juga oleh ibu yang mengambil upah menjahit pakaian.Nampaknya kalam kalbu anda sudah gelap.Dirasuk setan barangkali!.
Di dalam bilik,anda merenung bingkai gambar keluarga.Mata kuyu anda tertacap pada wajah ibu.Figura wajah ibu senantiasa berada berada ditubir mata anda.Jikalau ibu masih hidup tentu saja kemahuan anda akan dituruti.Ibu tidak pernah mengecewakan kehendak anda.Anda melihat figura wajah anda di cermin.Begitu buruk wajah anda didalam cermin kerana wajah bercantum duka.
Anda menumbuk geram cermin di depan anda.Darah berjejeran keluar melalui jari-jari anda yang luka.Luka di luar memang nampak tapi luka di dalam tiada siapa yang nampak.Hanya anda yang merasai sakitnya.Habis luka di tangan pun anda juga yang merasai sakitnya kerana anda yang mencederakannya.
Tidak sayang sungguh anda pada diri sendiri.Tergamak merosakkan ciptaan mulia Allah hanya kerana kemahuan yang tidak dituruti.Anda berasa bersalah apabila melihat darah keluar dengan banyaknya.Segera diambil minyak gamat untuk disapu di tempat luka.Lalu anda membalut tangan dengan plaster.
Anda menguak jendela kamar lalu bercongok di depan jendela sambil menongkat dagu di jendela.Terbentang tenang biru laut yang ditelan gelap malam.Sesekali suara riang ombak bermain berbunyi mesra.Langit suram tanpa ditemani sang kejora dan rembulan malam tidak meresahkan Pantai Menggabang Telipot.Damai lautnya menghadap Laut China Selatan tidaklah sedamai hati anda yang bergelodak terpaan jiwa.
Anda sendiri nekad bermain perasaan.Anda terjelopok ke dalam daerah kesamaran dengan ketidaktentuan.Mengelirukan batin dan meresahkan kalbu.Terikat antara cinta dan cecita.Andakah yang tersilap kerana mencipta jurang dengan ayah sehingga terciptanya daerah keresahan yang bermukim di kalbu.Lalu melempiaskan semua kesalahan menjadi bebanan yang tidak tertanggung oleh ayah.
Ruang minda anda bersuara:
Kau hanya mengejar impian sahaja,kau mendera perasaan ayah,kau memberinya resah.
Kata hati membalas:
Aku hanya mengejar kejayaan untuk masa depan aku juga,untuk mengubah nasib keluarga aku juga.
Ah,anda tidak peduli apa desakan minda.Biarkan minda mempertikaikan tindakan ini.Membiarkan saja dan mengikut kata hati.Bermakna minda dan hati anda sudah tidak sehaluan.Jika begitu buat apa membentuk jiwa.Bukankah minda dan hati perlu bersatu.Anda masih terikat keliru.
“Ikhlaskan dirimu dengan keadaan kita sekarang,mungkin ada hikmah tuhan sembunyikan sebaliknya”
Anda tahu suara itu dari getar hati ayah di sebalik pintu bilik anda.Adakah ayah tersinggung dengan sikap anda.Adakah anda ini tidak reti bersyukur dengan segala nikmat yang ada.Bukan ayah tidak mahu melihat anda berjaya.Sekarang ini kedudukan kewangan ayah tidak stabil.Ayah memerlukan masa untuk menyimpan duit semula.Sebelum ini semua wang habis digunakan untuk membeli ubat-ubatan ibu.Ternyata tuhan lebih menyayangi ibu.Ibu memang tiada galang gantinya di hati ayah.
Kata ayah anak-anak adalah syurganya.Habis bagaimana dengan anda?.Dulu ayah selalu bangga-bangga anda dengan kejayaan adik-beradik anda.Abang dan kakak berada di Universiti Perubatan Indonesia dan Ireland.Abang dan kakak memang pandai.Mereka akan bergelar doktor beberapa tahun lagi.
Tapi anda berduka.Anda merasa ayah seolah-olah tidak memahami jiwa anda.Ayah sudah tidak sayang pada anda.Ayah memang sudah tidak sayang pada anda.Jikalau ayah sayang pasti akan berusaha menuruti segala kemahuan anda.Iyalah sebagai ayah sepatutnya dari dulu lagi bersedia menyediakan segala keperluan anaknya.Lagipun ini untuk menjamin masa depan anda juga.
Tahniah anda telah berjaya melenyet kekabu hati ayah.Anda ingin sangat melihat ayah derita.Ayah tahu minat anda.Ayah juga inginkan anda berjaya.Setelah sekian lama ayah merakam kenangan bersama ibu untuk melihat kejayaan anda.
Kenapa anda masih lagi mencetuskan pergolakan hati ayah.Anda sebenarnya anak yang bertuah.Ayah kasihkan anda tapi benci dengan ketidakmatangan anda.Anda tidak harus membelakangkan ayah dalam membuat keputusan.Mungkin saja ayah mahu yang terbaik untuk masa depan anda.
Anda bertuah masih punya ayah walaupun kehilangan ibu.Anda harus hargai ayah yang menanam bunga kasih pada diri anda.Selagi hayat ayah masih bersisa.Anda berkorbanlah menghormati keputusan ayah.Anda memang cerdik minda tapi dungu diri.Kenapa anda sanggup menambahkan sembilu pilu kepada ayah.Anda tahu rentak hati ayah,tetapi terlupa ritma pengabdiannya.Anda keras lagak kepedulian.Anda merasa angka pengorbanan ayah tetapi tidak tahu berapa nilainya.
Anda mengisi titis keringat kedewasaan terikat cita-cita.Anda tidak tahu memaknakan cinta ayah.Di wajah anda ada rindu ibu.Di rindu anda ada ke secebis kasih untuk ayah?



Hari pertama qamat bergema di telinga anda.Sewaktu itu ayah memang impikan kesejahteraan anda.Saat anda membesar bersama teman-teman sepermainan.Ayahlah hero penyelamat anda daripada ditindas buli teman-teman sepermainan.Mana mungkin anda boleh melupai semua itu.Kenangan yang membesarkan anda.Seharusnya itu juga yang mematangkan jiwa anda.
Kini anda berlari ke pengkalan dewasa.Anda semakin buruk peribadi.Dan anda tergamak menghantar duka ke wajah ayah.Anda mengeluh.Mengadili setiap tindak tanduk ayah.Sebenarnya ayah senantiasa menghidupkan pengorbanannya untuk anak-anaknya.Anda yang buta perasaan tidak dapat menilainya.Anda memang mengimpikan kejayaan tetapi meremehkan kedudukan ayah.
Hadirkan diri anda dengan kejayaan bermakna.Jangan anda takut apabila berada di bawah,tapi takut apabila anda tidak bangun semula menanti cerah hari esok kerana GAGAL menjadi anak yang baik
Anda mengeluh panjang.Sekarang anda benar-benar terperangkap.Tidak.Tidak.Anda tidak akan sesekali membunuh cita-cita anda.Tapi bukankah itu akan mengait derita ayah.Demi sebuah cita-cita,anda harus memilih untuk meneruskannya hingga ke penghujung.Kalau tidak terlaksana buat apa belajar dari tadika hingga ke sekolah menengah lantas tidak ada apa-apa di penghujungnya.
Nampaknya cinta anda hanya sepi.Lenyap segala impian yang anda buru selama ini.Anda menumbuk-numbuk bantal melepaskan geram yang berkubang di sanubari.Berterbangan kekabu di dalamnya.Berterbangankah juga impian anda untuk menjejakkan kaki ke menara gading?.
Dan anda juga sebenarnya bebas,sebebasnya mengangkat keputusan anda untuk diterima ayah dan sekali gus mendesak ayah untuk menerima keputusan anda.Akan tetapi agak mustahil juga kerana ayah tidak punya wang untuk melaksanakan impian anda itu dengan jayanya.Nampakanya anda tersangkut dengan kehidupan yang benar-benar perit.
Aduh,kenapalah anda tidak dilahirkan menjadi anak orang berada.Tidak perlu memikirkan semua ceritera kehidupan.Tapi anda dicipta menjadi anak seorang nelayan yang memperhitungkan diri dengan takdir tuhan.Kalau jadi anak orang berada dan hidup kaya-raya tentu sekali bahagia dan tidak perlu memikirkan derita dunia.Wang boleh membeli segalanya di dunia.Jikalau tidak mempunyai wang pasti tidak akan jauh ketinggalan di belakang.Begitu berkuasa sekali wang di dunia fana ini.
Anda mengambil tabung buluh di bawah katil.Anda menggoncang-goncang syiling di dalamnya.Masih berbunyi lagi.Nampaknya masih ada isi.Wang yang anda kumpul selama lima tahun ini nampaknya hanya tinggal separuh saja lagi.Maklumlah usia remaja sebegini banyak yang perlu dipakai dan wang ini tidak terkecuali untuk membeli keperluan anda.Telefon bimbit yang digunakan anda juga minta diisi setiap bulan.Kalau tidak terbang not berwarna merah tiap-tiap bulan memang tidak sah hidup.
Tapi itulah hidup tidak selalunya indah dengan qadar dan qada Allah.Kalau jadi anak orang kaya tidak perlu memikirkan dari mana datangnya duit tapi kalau anak orang miskin harus mencari duit sendiri untuk hidup.Dunia ini tidak adil.Kenapa tidak disamakan saja tarafnya.Biar tidak ada yang miskin dan tidak ada yang kaya.Biar semua sama sahaja.Tapi bolehkan begitu?.Nanti akan lahir manusia yang tidak pandai bersyukur.Seperti andakah?

Perut anda berkeroncong irama syahdu kelaparan dan bibir anda merekah dahaga.Anda menelan liur berkali-kali.Tapi anda masih memakan ego.Kenyangkah dengan ego itu?.Nampaknya kenyang untuk malam ini sahaja.Anda masih memasungkan ego dalam diri.Tekad sungguh mogok anda.
Anda jadi keliru.Jalan di hadapan anda masih samar-samar tetapi itulah kenyataan yang realiti.Sepastinya begitulah.Anda tidak tahu mahu menyeberang daerah timbang rasa atau tidak.Atau membiarkan diri lemas di lautan ego.
Tunggu…lautan ego selalunya berombak ganas,waspadalah jikalau tenggelam di dalamnya.Minda menasihati riang.
Tidak seriang hati yang gusar.
Tidak akan tenggelam dengan mudah jika melalui daerah timbang rasa dengan berhati-hati.Yang penting tanamkan taman keikhlasan pada diri.Hati tidak mudah mengalah pada kemahuan minda.
Peluh dingin memenuhi ruang wajah anda.Anda masih termangu-mangu dalam dunia keresahan dan perlahan-lahan anda menyelimuti diri anda dengan berwuduk.Mahu beristikarah kepada tuhan untuk memecahkan segala kebuntuan yang bersarang di jiwa.Biar ianya tidak padat dalam diri.
Sepatutnya begitulah yang anda harus lakukan.Meminta yang terbaik dari Rabbul Izzati.Moga di permudahkan setiap berjalanan hidup anda.Itu adalah sedikit ranjau yang anda jumpa.Belum semuanya.Anda akan menemui jalan hidup yang perit lagi pahit untuk mengharungi jalan ke pengkalan dewasa bagi memenuhi hayat penghidupan.Hanya selautan keimanan berserta segerombolan semangat dan selangit tabah diperlukan bagi pengisian itu
.Aduh,bersediakah anda menghadapi semua rintangan itu?.Alam kedewasaan pasti mencabar dengan onak kehidupan dan duri dunia.Takut juga apabila memikirkan anda akan melalui semua itu.Beranikah anda mengharungi itu semua.Tapi setiap warga dunia harus dan wajib melaluinya.Jikalau tidak akan ketinggalan jauh ke belakang.
Seperti hidup di dalam hutan juga.Banyak haiwan buas dan ganas.Tapi apabila anda berhati-hati tentu sekali dapat mengharunginya dengan baik.Di mana-mana ceruk di dunia pun hidup sebenarnya sama sahaja.Di lautan juga yang lemah dan kecil akan ditidas oleh yang besar dan berkuasa.Memang hukum alam begitu.
Bersiap sedia melangkah ke gerbang keremajaan menuju ke pengkalan dewasa.Jangan pula anda terjatuh ke dalam jurang yang amat dalam sekali di pertengahan itu.Kesakitannya amat parah jikalau di bandingkan dengan apa yang dilalui anda sekarang ini.
Anda menelan liur.Takut juga memikirkan dunia di luar sana yang amat payah untuk dilalui jika benar-benar tidak bersedia.Gerun juga apabila sendirian mengharunginya.Dunia di luar sana memerlukan anda untuk berdikari.Ya anda harus berdiri di atas kaki sendiri.
Semoga di teguhkan cinta Rabbi di dalam diri anda.Akan tetapi dengan restu ayah kerana restu orang tua adalah doa yang paling mujarab dan akan diperkenankan oleh Allah.Jikalau hidup tanpa restu orang tua kelak tidak akan bahagia.Terasa akan ada sesuatu yang membakar riwayat jikalau hidup tanpa restu orang tua.
Oh air mata anda mengalir sepi di pergunungan pipi.Perasaan bersalah merajai kalbu.Anda terasa benar-benar bersalah kepada Ayah.Rasa bersalah yang teramat sangat kerana telah menghenyak kekabu hati ayah dengan sembilu pilu.Bagaimana jikalau anda tidak menjumpai hari esok untuk mengucup tangan kasar ayah?.

Anda menangis tersedu-sedu.Takut dengan azab yang dijanjikan Allah kepada anak derhaka.Takut juga apabila dipertanggungjawabkan kelak apa tugas anda sebagai anak.Tentu anda tiada jawapan jikalau hidup tidak menghormati orang tua.Jiwa anda menggeligis. Nampaknya gelodar kalbu anda tidak pulih.Ianya seolah tidak dapat mengguyur kelegaan batin.
Baru anda tahu betapa sengsaranya hidup.Payah diperkenankan doa jikalau masih berbekas duka di hati ayah.
Anda meraup wajah berkali-kali.Menghalangi mutiara putih dari gugur lagi.Ianya menjerakan perasaan anda.Guram wajah anda sepertinya sudah tidak terdaya.Monyok dalam darah perasaan yang bercabang dua mendera.
Anda berteleku meminta untuk melangkah ke ujana kejayaan tanpa gusar.Dapat meneruskan cita-cita dan cinta berpaut dalam satu kehidupan.Mendekatkan diri dengan cinta Rabbi akan membuang segala gelodak dan daki negatif dari jiwa.Tenang dan damai rasa kejayaan.Semoga akan medapat jawapan Istikarah yang tebaik.





SUARA SANUBARI

SUARA SANUBARI
KARYA:ADNIELAURA

Kini genap tiga tahun Husna Huda Abdul Halim bergelar Mahasiswa di IPTA.Husna Mahasisiwa tahun akhir kuliah pengurusan sumber manusia di Fakulti Pengurusan Perniagaan dan Perakaunan.
Husna masih membelek-belek cebisan surat-surat yang ditinta untuknya.Erylfaiz nama yang pernah bertakhta di sanubarinya ketika dulu tapi kini segalanya hancur lebur ibarat ketulan ais yang cair dan tidak dihirup cairannya.Begitulah keadaan hatinya kini.Tiada siapa yang tahu atau mempedulikannya.
Aku bukanlah seekor helang
Yang mampu terbang gah sentiasa
Aku perlu suntikan biotik darimu
Agar aku terus berjaya
Menerbangkan angan dan mimpiku
Menerjah awan kejayaan kelak.

Butir-butir yang bisa merumitkan hati.Tanpa disedari air mutiara jernih mengaburi kelopak matanya.Segera dihapuskan mutiara putih itu agar tidak tumpah ke pergunungan pipinya.Biar tidak nampak dia tidak mengalah pada cinta.
Tapi perempuan ini tewas.Kesedihannya tidak dapat dibendung lagi.Kenapa?.Kenapa duhai hati engkau begitu tenat sekali membawa diri ini.Lupakan Erylfaiz,jejaka itu memang melukakan hatimu.
Cinta monyet antara Erylfaiz dan Husna berputik sejak di bangku sekolah lagi.Hampir sedekad menyulam kasih.Akhirnya kata cinta yang diungkapkan terlerai sudah.Impian agar dapat membina mahligai idaman selepas masing-masing tamat belajar di menara gading terhapus begitu sahaja.Kesedihan menggamit ruang kalbu Husna.Satu persatu cebisan memori itu dikoyaknya.Biar tidak terperam semua.
“Una jom keluar pi makan”.Ajakan Ainil teman sebilik Husna mengejutkannya ke dunia nyata dari lamunan kesengsaraan hati.
Segera dikesat air mata yang masih melekap di pergunungan pipinya.
“Una awat hang nangis?”Tanya Ainil kehairanan melihat keadaan Husna teman sebiliknya yang tidak terurus seperti sediakala merisaukan Ainil.
“Eryl dah tinggalkan aku”ujar Husna sambil menangis teresak-esak di bahu Ainil.
Ainil turut bersimpati melihat keadaan Husna yang seperti tidak terurus itu.Husna cuba untuk memberikan senyuman pada Ainil.Dia mahu kuat.Kuat menempuh mainan perasaan ini.


Ketika melangkahkan kaki ke cafeteria Ibnu Sinar bersama Ainal.Husna terpana seketika.Tubuh Erylfaiz meyentap-nyentap jiwanya.Lelaki itu sedang makan tengah hari bersama seseorang yang sangat dikenalinya,Nazleen.Lelaki itu boleh berbuat tidak ada apa-apa di antara mereka.Sedangkan dia menangisi bagai hendak gila.
Erylfaiz memerhatikan langkah Husna yang berlainan sekali.Dia juga masih teringat janjinya pada gadis itu.Namun dia telah berjanji pada diri sendiri bahawa dia tidak akan melayan lagi perasaannya terhadap Husna.
Husna tidak dapat mengelak dari pandangan mata Erylfaiz.Sesekali pandangan mereka bertaut.Husna menyedari sesuatu.Dikuatkan langkahnya dan berlagak seolah-olah tiada sesuatu.Ya dia harus berlakon seperti tidak ada apa-apa yang berlaku dan pernah berlaku antara mereka.
“Wei,hang nak makan apa?”Ainil menyiku lengan Husna.
Husna tersentap.”Kuew Tiaw Kung Fu”.
Ainil mencatit pesanan Husna dia atas sehelai kertas sebelum diletakkan ke dalam bakul memesan makanan.
Husna menyedari Erylfaiz masih lagi memandangnya.Nazleen nampak berwajah cemburu.Namun Husna masih lagi mampu mengawal gelodak perasaannya ketika ini.Husna memujuk hatinya sendiri.Dia harus menyabarkan diri menempuh semua ini.






Tamat sahaja kuliah,Husna terus meluru keluar.Ainil kebingungan kerana selalunya Husna akan menunggunya dan mereka sering keluar bersama.Malah selepas waktu kuliah,mereka akan ke cafeteria terdekat untuk mengisi perut.
“Una,tunggu sat”.
Panggilan dari Ainil yang berada di belakangnya langsung tidak dihiraukannya.Husna merasakan peluh membanjiri tubuhnya ketika ini.Seolah-olah semangat juga hilang dari dalam dirinya.
Melihat mesej masuk pada skrin telefon bimbitnya menyesakkan lagi nafasnya untuk dihembus.Ianya seolah-olah tersekat di dalam dadanya kini.Walaupun telah dipadamkan nombor yang tertera di skrin telefon bimbitnya itu tapi Husna masih lagi boleh mengingati nombor yang menghantar mesej tersebut.Tidak akan sesekali dia lupa akan nombor telefon tersebut.Tidak akan sesekali.Mungkin bersama tuan empunya nombor itu juga.Ah,untuk melupakan lelaki itu!.Tidak semudah itu.
Husna menekan punat di telefon bimbitnya dan tertera mesej yang diterima dari lelaki itu.Husna sudah dapat mengagaknya.
Aku tahu hatimu telah terluka
Aku tahu kamu membenciku
Tapi kumohon seribu kemaafan
Kupohon keberkatan hidupku darimu jua
Dan aku berharap agar kamu dapat mendoakanku
Seperti juga aku yang sentiasa mendoakan kesejahteraanmu.
Lagi bergetar perasaannya bercampur gundah menerima kata-kata yang diuntaikan Erylfaiz.Benarkah dia akan kehilangan cinta pertamanya itu?.
Satu jam Husna boleh menempatkan cinta Erylfaiz di hatinya tapi untuk melupakannya lelaki itu mungkin memerlukan seumur hidupnya.Ya memang untuk menanggalkan perasaan cinta itu memang memeritkan jiwanya.
Selesai mandi dan bersolat,Husna segera bersiap-siap untuk ke perpustakaan.Banyak yang perlu dia khatam tentang ilmu pelajaran.Lagipun minggu ulangkaji ini harus dimanfaatkan sepenuhnya untuk menelaah pelajaran.
Husna memerhatikan wajahnya di cermin.Matanya sedikit sembab akibat terlalu banyak menangis.Dia segera membersihkan wajahnya.Kelihatan wajahnya bertukar rupa.Husna mengenakan solekan yang tebal.Apabila dia rasa puas hati dia mengenakan pula secalit gincu bibir dan sedikit celak di bawah mata.
Namun sebelum ke perpustakaan.Husna bercadang untuk singgah sebentar makan tengah hari di café corner.Tetapi tiba-tiba pintu biliknya di tolak dengan kasar sekali.Sangkaannya itu sahabat karibnya Ainil.Tapi ternyata Nazleen muncul dengan wajah yang penuh amarah dalam dada.
Husna sendiri kurang mengerti dengan sikap gadis di depannya itu.Seperti ingin mencari pasal saja dengannya.
Husna mengambil beg sandangnya dan segera keluar dari bilik.Nazleen terlebih dahulu menarik lengan Husna yang menyebabkan gadis itu berpaling ke arah Nazleen.Mata mereka bertembung.Husna dapat membaca apa yang bergelodak di dalam dada Nazleen ketika ini.Tentu sekali perihal Erylfaiz.Husna memang tidak mengerti kenapa begitu cemas sekali wajah Nazleen.
“Una,leen mintak tolonglah lepaskan Eryl”.Separuh merayu gadis itu di depan Husna.
Husna begitu kebingungan.Dia memang tidak tahu hujung pangkal tentang sejauh mana hubungan Erylfaiz dan Nazleen.Tapi semenjak dia menerima surat yang ditinta dari Erylfaiz tempoh hari.Hubungannya dengan Erylfaiz juga telah putus.Kalau ada perasaan pun cuma sekadar rasa kecewa.Mungkin terlalu kecewa dengan lelaki yang bernama Erylfaiz yang menghantar sengsara ke ruang hatinya itu.Rasanya dia juga tidak tahu rasa yang mendalam ini.
“Sebenarnya hubungan kami agak mesra,dia memang lelaki yang baik”.Nazleen kembali bercerita tentang Erylfaiz.
Kenangan itu menyentak kembali ingatan Husna terhadap Erylfaiz.Husna mengeluh.Dia sedalamnya cuba menyelami erti kasih dan perasaan Nazleen.Seharusnya dia perlu memuji sikap Nazleen yang berterus-terang soal hatinya yang begitu sayangkan Erylfaiz.Tapi Husna sendiri tidak tahu adakah kedatangan Nazleen sekadar mengharapkan simpatinya semata-mata untuk merebut kasih Erylfaiz.
Husna tidak menyangka rupanya selama ini bukan dia saja yang begitu lemah dengan cinta,Nazleen juga sama.Husna tahu Nazleen begitu cintakan Erylfaiz.Air mata yang sedang hangat mengalir di kelopak mata gadis itu membuktikan segalanya.Husna tidak tahu nasihat apa yang harus diberikan kepada gadis di depannya itu.
“Saya dan Erylfaiz memang dah tak ada apa-apa”ujar Husna mengakhiri perbualan.
Nazleen dilihatnya tersenyum gembira.Menyapu air mata yang masih menghujani pipinya dengan senyuman menyala-nyala.
Husna juga cuba mempamerkan senyuman apabila melihat gadis di depannya itu juga turut gembira.Walhal Husna yang berpalit derita.Dia menyalahkan dirinya sendiri kerana membiarkan perasaan mengusai diri.Kini dia telah kehilangan.Kehilangan yang begitu perit sekali.
Benar sungguh kata orang bahawa cinta itu buta.Perkara yang paling sukar untuk ditafsirkan adalah cinta kerana ianya melibatkan soal hati dan perasaan jiwa.Tapi cinta Erylfaiz terhadap Husna dulu tidak ternilaikah hingga begitu senang sekali lelaki itu berpaling arah.
Pertemuan Nazleen dengan Husna supaya dia dapat terus melupakan Erylfaiz.Perempuan itu sebenarnya tidak tahu nilai cinta.Apa dua ingat senang-senang untuk melupakan seseorang mungkin memerlukan seumur hidup.








Nampaknya hari yang ditunggu-tunggu telah tiba.Husna menatap jadual peperiksaan yang ditampal di meja studinya.Hari ini merupakan hari terakhir dia menduduki peperiksaan. Terasa tidak sabar menanti jam 8 pagi.Seolah-olah ianya satu penyeksaan.Mungkin inilah penantian yang amat mendebarkan jiwanya.
Selepas ini segalanya bakal tercoret sebagai kenangan dan bakal menjadi sejarah pada dirinya.Selesai bermunajat pada Yang Maha Esa,Husna membuka tingkap mempelawa bayu pagi yang bertiup lembut menyelinap ke ruang hatinya.Dia membiarkan dirinya menghirup kebeningan udara subuh yang segar.
Fajar sidik mula merangkak di langit pagi menandakan waktu subuh telah berlari meninggalkan waktu.Husna sekadar membelek-belek nota yang disediakan.Rasanya dia sudah tidak mampu lagi untuk menatap nota-nota kecil yang disiapkan lebih sebulan yang lalu sebagai persiapan menjelang peperiksaan itu.
Kini Husna pasrah untuk menjawab soalan peperiksaan.Berbekalkan doa umi dan abah di samping segala usahanya sendiri.Insyaallah dia bertawakal untuk setiap kemungkinan.Yang penting dia sudah membuat yang terbaik.
Kad matrik,slip peperiksaan,kad pengenalan dan alat-alat tulis sememangnya telah lama dimasukkan ke dalam beg sedari awal peperiksaan lagi.Husna menarik nafas lega biar semangat ada dalam dirinya.Dengan penuh keyakinan Husna mengatur langkah menuju ke Dewan Al-Mutafilbillah Shah.
“Good luck”sapa Erylfaiz apabila melihat Husna bersiap-siap untuk masuk ke dalam dewan peperiksaan itu.
Husna berpaling ke arah suara itu.Dia hanya melemparkan sebuah senyuman.
All the best Eryl.Biarpun tidak terluah kata-kata tersebut.Namun di sudut hatinya,Husna tetap mendoakan yang terbaik buat Erylfaiz.



Husna memanjatkan kesyukuran kerana peperiksaan akhir semester sudah pun tamat.Bermakna selepas ini dia tidak perlu lagi ke alam kuliah,tutorial dan menyiapkan pelbagai tugasan yang diminta pensyarah.Apa yang ada di benaknya kini adalah alam kerjaya yang bakal diceburi kelak.Husna terasa masanya agak panjang dan melegakan seluruh nafasnya kerana akhirnya dia tenang.Mana tidaknya kerana segala yang membebani kepalanya tidak perlu difikirkan lagi.
Terasa segala bebanan dan tanggungjawab yang digalas selama ini ringan.Husna telah menunaikan tanggungjawabnya sebagai Mahasisiwa dengan jayanya.Tentu umi dan abah amat berbangga sekali dengannya.Husna bersyukur semua itu berkat doa umi dan abah yang selalu ada memberi kekuatan jiwa kepadanya.
Dalam Husna memikirkan tentang diri dan masa depannya.Tiba-tiba bayangan wajah Erylfaiz menerpa mindanya.Husna jadi teringat janji-janji yang pernah diutarakan oleh Erylfaiz suatu ketika dahulu.Erylfaiz pernah berjanji mahu melamarnya seusai tamat pengajian nanti.Dan adakah dia terlalu berharap lelaki itu menunaikan janjinya.Adakah dia benar-benar berhasrat untuk memiliki lelaki itu walhal hatinya terluka dalam sekali.
Walau bagaimana berat hati memikul perasaan ini.Husna harus menerima hakikat perasaan bahawa Erylfaiz mungkin bukan tercipta untuknya.Eryfaiz tiada lagi di sisinya.Namun begitu,sesekali segala kenangan riang dan harapan cinta bersama Erylfaiz datang juga bertandang mengetuk masuk ke ruang sanubarinya yang sepi.
Husna tidak tahu ke mana hilangnya Erylfaiz sekarang.Keluar dari dewan peperiksaan tadi,tercari-cari juga dia akan kelibat lelaki itu.Namun hampa kerana lelaki itu tidak dapat dicari oleh pancainderanya.Ah,kenapalah Husna terus mendera perasaannya ini.Husna tidak mahu lagi terus-terusan memikirkannya.
Mugkinkah Erylfaiz sedang bersama Nazleen.Mungkin juga.Suara sanubari Husna menyatakan Erylfaiz sedang berbahagia bersama Nazleen.Semestinya Nazleen bukan calang-calang orang kerana layak juga menghiasi kamar kehidupan Erylfaiz.Nazleen juga ada keistimewaan tersendiri.Pasti Erylfaiz berbangga dapat memiliki cinta suci gadis itu.
Husna mengeluh.Dia tidak harus lagi untuk terus memikirkan Erylfaiz lagi.Hidup ini perlu pandang ke depan.Langkah pertamanya dia harus memikirkan apa perkara berfaedah yang harus dibuatnya bagi mengisi masa depannya juga.Ini penting bagi menambahkan ilmu pengetahuan untuk menceburi bidang kerjaya kelak.
Lagipun janji pada abah dan umi harus dimenterai terlebih dahulu dengan serius.Dia tidak boleh mengambil mudah dengan semua itu.


Husna memang telah bertekad untuk melupakan Erylfaiz.Lagipun mungkin ini untuk kebaikannya juga kerana lelaki itu fikirannya bercelaru.Dia ingin melemparkan duka itu jauh ke perut laut dalam biar ianya tidak lagi terkesan di lubuk jiwa.
Dia juga ingin menghumbankan segala resah kekecewaannya ke dada langit biar berterbangan di bawa pawana dan tidak akan ada lagi kenangan cinta yang tersimpan kerana kemanisan nikmat cinta telah mencatit kenangan duka dalam lembaran hayatnya.
Husna mengeluh perlahan-lahan.Untuk apa dia simpan kenangan cinta sekiraya ianya hanya memamah diri sendiri jua.Perlu apa dia mengharapkan perca-perca cinta yang telah bersepai akan bercantum bahagia kembali kerana sesungguhnya harapan itu mungkin membunuh jiwanya.Hanya kerana itu dia tidak lagi akan membiarkan hatinya membengkak kerana belati cinta dari Erylfaiz.
Begitu kecewa sekali Husna dengan sikap Erylfaiz.Baginya Erylfaiz tidak pernah menghargai erti kesetiaan dan kejujuran yang dia berikan selama ini.Namun bebayang Erylfaiz selalu bermain di benaknya menyebabkan sukar untuknya melupakan terus lelaki itu.Entah mengapa rindu ini sentiasa mengamit di dalam dada.
Husna ingin melupakan lelaki itu kerana hatinya sarat dengan perasaan kecewa dan pilu.Tapi tidak ada sekelumit benci pula yang bertandang tiba.Adakah kerana kasih sayangnya ini sejati.Tapi Husna tahu untuk apa dia terus mengingati dan masih terus menggali kekecewaan lagi yang tidak akan menjanjikan kebahagian.Lelaki itu telah menyingkirkan dia jauh sekali di sudut hati.Malahan pertemuan semalam telah membongkar segala cerita bahawa Erylfaiz sedang berbahagia bersama Nazleen.



Enam tahun sudah berlalu.Husna kini telah bekerja di salah sebuah syarikat korporat di Ibu kota.Jika dilihat dari luaran Husna telah berjaya dalam hidupnya.Dia berjaya menggapai cita-citanya dengan begitu cemerlang sekali.Dia telah membuktikan kepada umi dan abah bahawa dia telah berjaya di dalam bidang kerjaya yang diceburinya.
Namun seribu kenangan kelmarin masih mekar menyinari hatinya.Seolah-olah pertemuan itu menangis rindu tiada penghujung.Cinta sejati buat Erylfaiz.Adakah keikhlasannya untuk melupakan lelaki itu ditelan racun cinta yang masih berbisa.Racun cinta yang tiada bandingan namun pastinya telah bertukar pergi menjadi rindu.
Dan rindu itu kembali menyesakan dadanya dan mengatur setia buat membaitkan secebis kata bagi melempiaskan getar rasa yang senantiasa bersarang di lubuk jiwanya.
Ah,Husna tidak mahu lagi mempersoalkan ini semua.Namun suara sanubarinya masih terus bertelegah untuk memperjuangkan cinta.
Bunyi mesej masuk di telefon bimbitnya mematikan lamunan sebentarnya.Satu mesej dari Erylfaiz menyentap jantung jiwanya.Segera dia menarikan jejari pada kekunci telefon bimbitya membalas salam yang dikirim Erylfaiz.
Husna terkejut apabila Erylfaiz ingin bersua dengannya.Setelah enam tahun tidak bersua muka.Adakah Erylfaiz juga tidak dapat melupakannya.Husna sendiri tidak pasti dengan suara sanubarinya.Masih adakah lagi harapan atau sekadar harapan yang tertimbus oleh kenangan kelmarin.








Husna sedang berfikir dan minda ligat mengambarkan kembali saat-saat manis bersama Erylfaiz.Sebenarnya apa yang berlaku langsung tidak pernah diduganya sebelum ini.Setelah enam tahun menyepikan diri.Begitu mudah sekali Erylfaiz melamarnya.
“Husna,will you marry me?”
Buat seketika Husna diam tanpa suara.Dia tidak mampu memberikan jawapan kerana baginya perkara tersebut memang sudah lama terkubur dari mimpinya dan hatinya sendiri sudah mahu meluputkan impian tersebut.
Bagi Husna apa yang diluahkan oleh Erylfaiz mungkin bukan berdasarkan fikiran yang waras lelaki itu kerana perkara tersebut tidak mungkin sesekali akan terjadi.Jikalau dia menerima lamaran Erylfaiz bagaimana pula dengan nasib Nazleen.Bukankah kata-kata lamaran tersebut patut diutarakan kepada Nazleen bukan dirinya.
“Kenapa awak diam?.Tidak adakah lagi sinar cinta saya di hati awak?”tutur Erylfaiz sayu.
“Kenapa awak melamar saya?”soal Husna tidak puas hati.
“Saya tidak pernah bertemu dengan perempuan yang begitu baik dan begitu setia menanti cintanya”.
Husna mengigit bibir dan memejam kedua belah matanya.Dia mencari sianar kekuatan di situ.
“Saya rasa sudah sampai masanya saya menjadikan awak isteri saya”jujur Erylfaiz berkata.
“Habis tu begitu mudah sekali awak melupakan Nazleen sedangkan selama ini dia terlalu mencintai awak”soal Husna tidak puas hati lagi.
“Ya memang saya terpikat dengan Nazleen,namun apabila saya menyedarinya ternyata dia bukan cinta hati saya.Cinta saya hanya pada awak Husna”rayu Erylfaiz lagi.
“Saya akan berkahwin apabila saya sudah bersedia dan hati saya sudah benar-benar menerima awak kembali.”
“Tapi awak…”Erylfaiz merayu lagi.
Husna berpaling ke arah Erylfaiz.Sejujurnya dia cuba untuk mencari sinar kejujuran lelaki itu.Dia tidak mahu lagi terperangkap di dalam perasaannya sendiri lagi.
“Dan apabila hati saya masih merasai cinta kita dan luka yang pernah awak cipta di dalamnya”ujar Husna mengakhiri perbualan.
Husna tahu dirinya memang kesepian sekarang.Tapi kesepian yang melanda lubuk dirinya bukan dengan mudah untuk dia menerima cinta lain biarpun cinta itu yang pernah mekar berbunga di hatinya suatu ketika dahulu.Tetapi pisau kesengsaraan yang ditoreh di hatinya masih lagi meninggalkan parut luka yang menyesakkan sanubarinya.Yang paling jelas perkara tersebut menguburkan segala mimpinya utuk bersuamikan Erylfaiz.
Namun dia juga mempertaruhkan kesetiaan didalamnya.Adakah dengan kesetiaan itu dia akan mendapat kebahagian di dalam perkahwinannya kelak.Namun begitu di dalam perkahwinan memerlukan cinta sebagai bumbung dan kasih sayang sebagai tiangnya kerana apabila dilanda ombak badai musibah dan ribut taufan masalah di dalam rumah tangga masih kukuh dan kemas dipertahankan.Semuanya memang tidak mudah.Namun untuk ketenteraman dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.
Suara sanubari Husna sedang ligat memutarkan segala ingatannya.Berfikir sejenak tentang lelaki itu.Husna tahu Erylfaiz begitu tulus mahu mengahwininya.Mahu menyuntingnya sebagai bidadari hidup lelaki itu sepanjang hayatnya.Dan suara sanubarinya mengakui jika sudah tersurat jodoh dia dan Erylfaiz dia tetap akan menerima lelaki itu di dalam hidupnya.Namun jika lelaki itu bukan miliknya.Husna juga tidak akan sesekali membuang Erylfaiz dalam hidupnya.Mungkin angin Ogos masih terus menitipkan cintanya dan mengirim salam rindu kepada Erylfaiz.






Friday, January 13, 2012

SURAT KEPADA PERAGUT!....



(Ditinta khas untuk peragut yg meragut tas tanganku pada 8 Januari 2012 jam 9.25 malam)

Betapa bodohnya dirimu!
Dan betapa malangnya ibumu mengandungkan
Manusia bodoh sepertimu
Tas tangan pemberian ibu kau ragut tanpa relaku…

Namun aku boleh bertepuk dengan senyuman bahagia
Kerana Allah telah menyelamatkan aku..Alhamdulillah!..
Subhanallah maha suci Allah kerana melindungiku…

Dan aku masih boleh tergelak tawa seorang diri
Kerana walaupun terkejut dengan kehadiran mengejutnya yang mengekori motosikalku dari belakang dan terus meragut tas tangan yang berada di dalam raga motosikal.
Aku boleh menyatakan bahawa engkaulah manusia yang paling bodoh sekali di muka bumi Allah…
Itu hanya tas tangan yang hanya dipenuhi tisu dan bekas makanan ringan yang terlupa untuk dibuang di dalam tong sampah sahaja…
Dan sebenarnya tidak ada apa-apa di dalamnya kerana sampai mati tidak akan pernah aku miliki tas tangan lagi,aku lebih rela tidak punya apa-apa barangan berharga kerana nyawa dan maruah yang lebih berharga dari segalanya.

Dan terima kasih kerana membuatkan aku sedar bahawa Wang bukanlah segalanya walaupun hidup memang memerlukan wang sebenarnya.Rupanya beg yang berkembung lebih berharga walaupun harga beg itu hanya berharga RM30.00 sahaja…
Doaku sebagai saudara sesama agama,semoga Allah membukakan pintu hatimu dan perbanyakkanlah bertaubat kepadaNYA…Kematian mungkin penamat sebuah kehidupan namun kerahmatan dalam kehidupan penyuluh untuk di alam barzah kelak…
Semoga sempat bertaubat sebelum maut datang menjemputmu…
Dan aku bersama ayah laporkan kejadian dibalai polis berdekatan dan ternyata polis itu hanya tersenyum juga apabila aku menceritakan kejadian itu..Namun jauh di sudut hati aku mahukan tas tangan itu kembali kerana itu milik ibuku bukan milikku.Walaupun hanya mencuri tas tangan yang hanya dipenuhi sampah-sarap di dalamnya wajid juga dijatuhi hukuman…Namun yang pasti si peragut itu tetap juga akan mendapat pembalasannya.Biarpun bukan di dunia namun karmanya akan tetap terkena juga kepada engkau…Dan terima kasih banyak-banyak juga kerana memberikan aku idea untuk mengukir sebuah puisi khas kepadaMu duhai si PERAGUT..mungkin juga boleh dijadikan satu cerita….
Salam ikhlas penuh kemaafan dengan senyuman sinis dari mangsa ragut!
(Dan dengan menyesal mengatakan kenapalah aku tak letak bom di dalamnya,bolehlah dia mati syahid bersama tas tangan itu)
-cuma terfikir akan kata-kata ayah dan senyuman ayah yang mengatakan ALLAH SENTIASA BERSAMA ANAK GADISNYA KERANA DOANYA SENTIASA BERSAMAKU SETIAP WAKTU,barulah aku tahu bahawa itulah keredhaan kehidupan…Kasih ayah dan ibu untuk setiap waktu…Ayah tetap heroku nombor satu,sayang ayah!!!!!!!!!!!!!!!.

Popular Posts